Nasihat Luqman kepada Anaknya
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Mari kita hayati dan fahami pengertian pesanan dari Luqmanul Hakim kepada anaknya.
Al-Quran banyak menceritakan tentang kisah para nabi. Namun, hanya beberapa orang yang istimewa sahaja yang namanya disebut di dalam Al-Quran. Antaranya ialah Luqmanul Hakim. Nama Luqman diabadikan menjadi Surah ke-31 dalam Al-Quran .
Ada beberapa pendapat yang meriwayatkan perihal Luqman. Ibnu Abbas mengatakan bahawa Luqman adalah seorang budak dan tukang kayu yang berasal dari Habsyah (Ethiopia).
Riwayat lain menyebutkan bahawa Luqman adalah seorang yang berasal dari Nubah dengan bertubuh pendek dan hidung yang tidak mancung. Adapun Ibnu Katsir menjelaskan, ia adalah Luqman bin ‘Anqa’ bin Sadun, seorang hamba sahaya dari Sudan yang memiliki anak bernama Tsaran.
Siapapun Luqman, Allah telah memberikan kepadanya ilmu hikmah. Sebagaimana dijelaskan di dalam Al-Quran Surah Luqman Ayat 12:
وَلَقَدۡ اٰتَيۡنَا لُقۡمٰنَ الۡحِكۡمَةَ اَنِ اشۡكُرۡ لِلّٰهِؕ وَمَنۡ يَّشۡكُرۡ فَاِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهٖۚ وَمَنۡ كَفَرَ فَاِنَّ اللّٰهَ غَنِىٌّ حَمِيۡدٌ
Maksudnya: “Dan sungguh, telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, ”Bersyukurlah kepada Allah! Dan barangsiapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji.”
Ibnu Katsir menjelaskan, suatu ketika Luqman diminta oleh tuannya untuk menyembelih seekor kambing. Setelah itu tuannya meminta Luqman untuk memberikan dua potong bahagian yang paling baik dari kambing. Kemudian, Luqman memberikan bahagian lidah dan hati dari kambing tadi.
Pada kesempatan lain, Luqman kembali diminta tuannya untuk menyembelih seekor kambing. Setelah itu tuannya meminta Luqman untuk memberikan dua potong bahagian yang paling buruk dari kambing. Ternyata, Luqman kembali memberi bahagian lidah dan hati dari kambing yang dipotongnya.
Majikannya pun hairan dan bertanyakan kepada Luqman. Ia menjawab: “Memang tidak ada yang lebih baik dari keduanya bila sudah menjadi baik, dan tidak ada yang lebih buruk dari keduanya bila sudah menjadi buruk.”
Allah juga mengabadikan nama Luqman di Al-Quran sebagai seorang soleh yang memberi wasiat kebaikan bagi anaknya. Yakni dalam Surah Luqman ayat 13:
وَاِذۡ قَالَ لُقۡمٰنُ لِا بۡنِهٖ وَهُوَ يَعِظُهٗ يٰبُنَىَّ لَا تُشۡرِكۡ بِاللّٰهِ ؕاِنَّ الشِّرۡكَ لَـظُلۡمٌ عَظِيۡمٌ
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, ”Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”
Nasihat Luqman kepada anaknya di atas sama, sama halnya dengan nasihat para Nabi yang mengajarkan tauhid dan menjauhi kesyirikan. Dan pada ayat-ayat berikutnya di Surah yang sama, Luqman juga memberi beberapa nasihat lain.
(16)يٰبُنَىَّ اِنَّهَاۤ اِنۡ تَكُ مِثۡقَالَ حَبَّةٍ مِّنۡ خَرۡدَلٍ فَتَكُنۡ فِىۡ صَخۡرَةٍ اَوۡ فِى السَّمٰوٰتِ اَوۡ فِى الۡاَرۡضِ يَاۡتِ بِهَا اللّٰهُ ؕ اِنَّ اللّٰهَ لَطِيۡفٌ خَبِيۡرٌ
(17)يٰبُنَىَّ اَقِمِ الصَّلٰوةَ وَاۡمُرۡ بِالۡمَعۡرُوۡفِ وَانۡهَ عَنِ الۡمُنۡكَرِ وَاصۡبِرۡ عَلٰى مَاۤ اَصَابَكَؕ اِنَّ ذٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ الۡاُمُوۡرِ
(18)وَلَا تُصَعِّرۡ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمۡشِ فِى الۡاَرۡضِ مَرَحًا ؕ اِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالٍ فَخُوۡرٍۚ
(19)وَاقۡصِدۡ فِىۡ مَشۡيِكَ وَاغۡضُضۡ مِنۡ صَوۡتِكَؕ اِنَّ اَنۡكَرَ الۡاَصۡوَاتِ لَصَوۡتُ الۡحَمِيۡرِ
Maksudnya:
- (Luqman berkata), ”Wahai anakku! Sungguh, jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Maha Teliti.”
- “Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.”
- “Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan bangga diri.”
- “Dan bersederhanalah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”
Bila kita rangkum dari ayat-ayat di atas, beberapa pesan Luqman kepada anaknya adalah pesan untuk:
- Tidak mempersekutukan Allah
- Peringatan untuk tidak berbuat dosa sekecil apapun
- Mendirikan Solat
- Amar ma’ruf nahi mungkar
- Bersabar
- Tidak berlaku sombong dan angkuh
- Bersederhana dalam berjalan
- Merendahkan suara ketika berbicara
Bila diselami, nasihat-nasihat tadi merangkumi pendidikan dalam bidang aqidah, syari’at, mahupun akhlak. Sebahagiannya merupakan perkara dalam hubungan manusia dengan sang Khaliq, sebahagiannya lagi menyediakan perkara yang mengatur aspek hubungan antara manusia.
Oleh yang demikian, kita dapat mengambil hikmah dari wasiat Luqman di atas untuk ditanamkan kepada anak-anak kita sejak lahir. Semoga nasihat di atas dapat di praktikkan kepada anak kita, mereka boleh menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sebagaimana harapan dan doa orang tua kepada Allah agar dikurniai anak yang soleh dan solehah, yang diabadikan dalam Surah Al A’raf Ayat 189:
لَئِنْ آتَيْتَنَا صَالِحًا لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang soleh, tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.”