MAKNA DAN 8 KELEBIHAN SOLAT SUNAT DHUHA
APAKAH ITU DHUHA?
Secara bahasa, al-Dhuha (الضحى) boleh diterjemahkan kepada “Waktu Pagi” atau “Sinar Pagi” Oleh itu solat Sunat Dhuha adalah solat yang dilakukan pada waktu pagi, di antara waktu Solat Subuh dan Solat Zohor. Solat dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut. Solat Sunat Dhuha dilakukan untuk menghapuskan dosa dan agar murah rezeki. Solat sunat dhuha adalah solat yang ditunaikan setelah naik matahari pada waktu pagi, iaitu sekitar pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari, iaitu sebelum tiba waktu zuhur.
Dalam waktu dhuha ini, kebanyakan orang berada dalam kesibukan duniawi, ada yang sedang bekerja, melakukan rutin harian dan sebagainya, maka dengan itulah Allah SWT menjanjikan nikmat dan pulangan yang cukup besar bagi sesiapa yang merebut masa ini untuk mendirikan solat sunat dhuha.
Allah bukan sahaja menyayangi sesiapa yang melazimi dhuha, bahkan sentiasa mencukupkan rezekinya dengan berlipat kali ganda. Maka rugilah sesiapa yang sengaja melepaskan keistimewaan ini.
Selain itu, terdapat banyak lagi nikmat dan kelebihan dalam menunaikan solat sunat dhuha, antaranya;
- DISUKAI ALLAH SWT
Allah sangat menyukai golongan hambaNya yang mengerjakan solat dhuha, walaupun hanyalah dua rakaat sahaja tetapi ianya ibadah yang membuatkan pelakunya sentiasa disayangi oleh Allah SWT.
“Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim)
- SEBAGAI SEDEKAH YANG TAK DISEDARI
Daripada Abi Zar r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat dhuha.” (Hadis Riwayat Muslim) Ini bermakna, setiap bacaan dan tindakan dalam solat dhuha dianggap sebagai sedekah. Dengan bersolat dua rakaat sahaja kita sudah turut sama mendapat pahala bersedekah, baiknya Allah.
- MEMBERI KESIHATAN YANG BAIK
Umum sedia tahu bahawa perbuatan solat adalah senaman yang baik untuk menyihatkan tubuh badan manusia. Setiap pergerakan seperti rukuk dan sujud mempunyai fungsi masing-masing, contohnya dapat meregangkan otot.
Lalu jika dengan banyak mendirikan solat sunat juga bermna telah menambah gerakan senaman secara tidak langsung. Bukan sahaja kesihatan fizikal, solat juga memberi kesihatan kepada mentaliti, iaitu ketenangan jiwa dan fikiran.
- GANJARAN PAHALA BERLIPAT GANDA
Pahala dalam menunaikan solat sunat adalah sangat besar, apatah lagi solat sunat yang sangat disukai oleh Allah SWT.
- DIAMPUNKAN KESALAHAN DAN DOSA
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhaNya, nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Ini bermakna, dosa yang paling besar juga dapat diampunkan asbab dengan mendirikan solat dhuha, selain dapat menutup dosa-dosa kecil, dosa besar termasuklah dosa terdahulu.
- DISIAPKAN RUMAH DI SYURGA
Sabda Nabi SAW; “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.”(Al-Jami’: 634)
Beruntunglah sesiapa yang melazimi harinya dengan mendirikan solat ini, kerana Allah SWT telah berjanji untuk membangunkan sebuah mahligai di syurga untuknya kelaK.
- DICUKUPKAN REZEKI SETIAP HARI
Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”(Hadis Riwayat Abu Dawud) Rezeki akan sentiasa dicukupkan oleh Allah pada hari itu dan seterusnya, seperti yang sering dikatakan umum bahawa solat dhuha adalah solat pembuka pintu rezeki.
Bahkan Allah akan menurunkan rezeki yang tidak disangka-sangka, bukan dari bentuk makanan sahaja, tetapi tubuh badan yang sihat, anak-anak yang soleh dan bijak, keluarga yang bahagia, bidang pekerjaan yang baik dan sebagainya
- MENDAPAT KEUNTUNGAN YANG BESAR
Rasulullah SAW bersabda;“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”(Sahih al-Targhib : 666)
Begitu Allah memberi keuntungan yang besar kepada mereka yang mengamalkan solat dhuha. Namun begitu, kusyuk dan fokus dalam melazimi solat suant dhuha tanpa hanya memikirnya rezeki harta semata-mata tetapi ekuntungan rezeki yang lain, seperti kesihatan.